Wakil kerajaan Taliban ke Norway
OSLO: Rombongan Taliban akan berbincang dengan pegawai negara Barat di sini minggu depan, mengenai hak asasi manusia dan bantuan kemanusiaan, sempena lawatan rasmi pertamanya ke rantau itu, sejak kembali berkuasa.
Kementerian Luar Norway, berkata pihaknya menjemput wakil Taliban ke Oslo bermula 23 hingga 25 Januari ini.
Mengikut laporan Aljazeera yang memetik akhbar tempatan VG, wakil khas dari Amerika Syarikat (AS), Jerman, United Kingdom (UK), Perancis, Itali dan Kesatuan Eropah (EU) dijangka hadir.
Bagaimanapun, kementerian tidak memberi sebarang ulasan dalam laporan akhbar terbabit.
Menteri Luar Norway, Anniken Huitfeldt, menekankan lawatan itu bukan satu pengiktirafan kepada Taliban, tetapi ia perlu sebagai medium perbincangan dalam kalangan tampuk pemerintah negara sekarang.
“Kami sangat bimbang mengenai situasi serius di Afghanistan,” katanya sambil menambah keadaan ekonomi dan politik mewujudkan malapetaka kemanusiaan besar, membabitkan jutaan orang yang berdepan kebuluran di negara itu.
Pemangku Menteri Luar kerajaan Taliban, Amir Khan Muttaqi, akan memimpin delegasi ke Norway.
Lawatan itu kali pertama sejak Taliban mengambil alih Afghanistan pada Ogos, apabila wakil mereka akan menghadiri mesyuarat di Eropah.
Sebelum ini, mereka pernah mengadakan lawatan ke Russia, Iran, Qatar, Pakistan, China dan Turkmenistan.
Timbalan Menteri Kebudayaan dan Informasi Afghanistan, Zabihullah Mujahid, dijangka mengadakan pertemuan berasingan dengan delegasi AS, termasuk perbincangan bilateral bersama wakil negara Eropah.
Sponsored by Egroup88