Malaysia sertai 12 negara nyata komitmen tingkat populasi harimau

KUALA LUMPUR: Menteri dan pegawai kanan dari 13 negara yang mempunyai populasi harimau berkeliaran (TRC), menyatakan komitmen mereka untuk menyelamatkan hidupan liar pada Persidangan Menteri-Menteri Asia Ke-4 (AMC4) Mengenai Pemuliharaan Harimau yang berakhir hari ini.

TRC terdiri daripada Malaysia, Bangladesh, Bhutan, Kemboja, China, India, Indonesia, Laos, Myanmar, Nepal, Rusia, Thailand dan Vietnam.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dalam satu kenyataan hari ini, berkata TRC juga mengguna pakai Kenyataan Bersama Kuala Lumpur mengenai Pemuliharaan Harimau.

Menurut KeTSA, TRC sebagai penjaga saki-baki harimau liar di dunia mempunyai matlamat serupa ke arah usaha menstabil dan mengukuhkan populasi haiwan berkenaan dan mangsanya, merentasi kawasan yang dihuni mamalia ITU pada masa lampau.

Katanya, kenyataan bersama itu juga membawa dorongan baharu untuk mencapai matlamat sejagat itu, termasuk juga aliran koridor ekologi utama ke dalam dasar guna tanah, meliputi infrastruktur hijau pintar dalam landskap harimau serta menyeru organisasi antarabangsa terus memberi sokongan kewangan dan teknikal kepada negara dalam pemuliharaan harimau.

Terdahulu, lebih 300 peserta termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa serta sektor swasta mengambil bahagian dalam persidangan tiga hari itu yang bermula Rabu lalu.

Hari terakhir AMC4 disusuli dengan Mesyuarat Peringkat Menteri TRC, yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.