Sri Lanka mahu struktur semula hutang dengan China

COLOMBO: Sri Lanka yang berdepan masalah kewangan mahu membuat penstrukturan semula hutang dengan China dalam rundingan dengan Menteri Luar China, Wang Yi, hari ini.

Negara yang ekonominya bergantung pada pelancongan itu berdepan kesan teruk pandemik COVID-19 dan kehabisan rizab tukaran mata wang asing, sehingga terpaksa mencatu makanan di pasar raya selain kekurangan barangan keperluan.

China yang juga sekutu utama Sri Lanka, adalah peminjam terbesar kepada negara itu.

Lawatan Wang dilakukan selepas agensi penarafan antarabangsa memberi amaran bahawa kerajaan pimpinan Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, berisiko tidak mampu lagi membayar hutang.

“Presiden memaklumkan keadaan akan menjadi lebih baik jika bayaran hutang boleh distruktur semula berikutan krisis ekonomi selepas pandemik,” kata Pejabat Presiden Sri Lanka dalam satu kenyataan.

Setakat ini, Kedutaan China di Colombo tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

Rizab antarabangsa Sri Lanka berkurangan kepada AS$1.5 bilion pada hujung November lalu, yang hanya mencukupi untuk membayar kos import barangan selama kira-kira sebulan.

Syarikat utiliti tenaga utama negara pulau itu mula mencatu elektrik Jumaat lalu, selepas kehabisan sumber kewangan untuk mengimport minyak bagi kegunaan penjana kuasa miliknya.

Data kerajaan menunjukkan, hutang Sri Lanka kepada China adalah sekitar 10 peratus daripada keseluruhan hutang antarabangsanya yang berjumlah AS$35 bilion (RM147 bilion), setakat April tahun lalu.

Pihak berkuasa memaklumkan, pinjaman keseluruhan China mungkin lebih tinggi jika mengambil kira pinjaman kepada perusahaan milik kerajaan dan bank pusat.

Sri Lanka membuat pinjaman yang tinggi daripada China dalam tempoh sedekad sehingga 2015, ketika abang Rajapaksa, Mahinda, menjadi Presiden Sri Lanka.

Pinjaman itu antara lain bagi membiayai pembinaan projek infrastruktur mega, namun beberapa projek itu kini menjadi projek gajah putih.

Kegagalan membayar hutang berjumlah AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion) untuk pembinaan pelabuhan di selatan negara itu memaksa Colombo memajak fasiliti itu kepada syarikat China selama 99 tahun pada 2017.

Amerika Syarikat (AS) dan kuasa besar serantau, India, memberi amaran bahawa pelabuhan Hambantota yang terletak di sepanjang laluan utama perkapalan timur-barat bakal memberi kelebihan kepada tentera China di Lautan Hindi.

Namun, Colombo dan Beijing menafikan pelabuhan Sri Lanka akan digunakan untuk sebarang kegiatan ketenteraan.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.