Usah tindas pengguna kenakan caj tidak munasabah

KUALA LUMPUR: Syarikat yang menawarkan skim pelancongan kongsi masa (time share vacation scheme) diingatkan tidak menganiaya pengguna dengan mengekalkan bayaran penyelenggaraan, walaupun perkhidmatan penginapan itu tidak digunakan dalam tempoh dua tahun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Difahamkan, caj penyelenggaraan tahunan dikenakan sehingga lebih RM400 dan kegagalan membuat bayaran menyebabkan pengguna berdepan risiko tidak boleh menggunakan kemudahan ditawarkan sebelum ini walaupun selesai membayar keahlian bagi skim berkenaan bernilai puluhan ribu ringgit.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, berkata mengambil kira situasi pandemik COVID-19 dan undang-undang dikuatkuasakan kerajaan yang mengehadkan pergerakan pengguna termasuk bagi tujuan bercuti, pihak syarikat sepatutnya menyerap semua kos penyelenggaran.

“Dalam keadaan kritikal seperti musim COVID-19, syarikat tidak sepatutnya memaksa pengguna membayar seperti biasa bagi kos penyelenggaraan.

“Syarikat sepatutnya menyerap keseluruhan kos, selain boleh berbincang dengan pemilik kondominium, resort atau hotel berikutan perkara ini bukan disengajakan.

“Pada masa sama, pemilik (premis percutian) pula dinasihat tidak menekan syarikat kerana ini mungkin punca pengguna menjadi mangsa,” katanya.

Skim pelancongan kongsi masa merujuk kepada pembelian hak untuk menggunakan kemudahan percutian yang disediakan. Skim ini menerapkan konsep berkongsi kos percutian dengan cara mendaftar keahlian dengan syarikat penyedia perkhidmatan dan membayar kos tertentu dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit bagi menggunakan kemudahan penginapan dengan tawaran istimewa mengikut syarat ditetapkan.

Bagaimanapun, Jacob berkata, siasatan terperinci CASSA mendapati kebanyakan syarikat ini terbabit dalam aktiviti pencatutan.

“Malangnya, kami dapati syarikat ini cuba mengaut semula keuntungan kerana hilang pendapatan selama lebih dua tahun. CASSA memahami banyak perniagaan terjejas ketika COVID-19, namun tindakan mengambil kesempatan ke atas pengguna yang turut terkesan teruk adalah kesalahan yang tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai diminta membuat aduan kepada pihak berkuasa jika berdepan isu sedemikian, selain Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digesa meneliti semula perjanjian di antara syarikat penyedia perkhidmatan itu dan pemilik premis percutian untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (PPPM), Sukhdave Singh, berkata pengguna disaran meneliti semula terma perjanjian ditandatangani bersama syarikat pengendali pelancongan berkenaan.

“PPPM melihat keperluan untuk terma perjanjian diteliti untuk memahami hak ahli dalam situasi ini. Kami mencadangkan ahli berbincang dengan pihak syarikat untuk tidak mengenakan caj penyelenggaraan atau memberikan diskaun kerana premis tidak dapat digunakan.

“Seperkara perlu difahami, pihak syarikat perlu menampung kos penyelenggaraan untuk tujuan keselamatan bangunan pada masa depan. Mungkin pemberian diskaun adalah penyelesaian menang -menang untuk kedua belah pihak,” katanya.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.