Geng curi kereta, samun pelanggan stesen minyak tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki dipercayai terbabit kegiatan menyamun pelanggan stesen minyak dan curi kereta di ibu negara serta Selangor dalam serbuan berasingan di Lembah Klang pada 21 dan 28 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata dua suspek ditangkap dalam operasi dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 21 Disember lalu manakala tiga lagi ditahan pada 28 Disember.

“Hasil siasatan awal mendapati empat hingga lima lelaki menggunakan PROTON Wira hijau gelap ketika melakukan jenayah itu.

“Modus operandi kumpulan ini ialah melakukan samun secara berkumpulan dengan menggunakan senjata dan mensasarkan mangsa menaiki kereta mewah serta memakai barangan kemas yang sedang mengisi minyak di stesen minyak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, kesemua suspek adalah warga tempatan berusia antara 28 hingga 42 tahun dan semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kita turut merampas dua parang, sebuah kereta, tujuh telefon bimbit, dompet milik mangsa, dan tiga keping kad Touch ‘n Go dengan salah satu adalah milik mangsa, serta satu spanar dan ‘allen key’ yang diubah suai, dipercayai digunakan untuk mencuri kereta,” katanya.

Beliau berkata, menerusi penahanan kesemua suspek, polis Kontinjen Kuala Lumpur berjaya menyelesaikan tiga kes samun dilaporkan berlaku di sekitar ibu negara dan dua lagi kes di Selangor.

Salah satu kes samun itu katanya, berlaku pada 19 Disember lalu di sebuah stesen minyak di Jalan Kampung Batu, di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Ketika kejadian, mangsa sedang mengisi minyak kereta sebelum didatangi seorang lelaki bersenjatakan sebilah parang cuba menarik rantai emas dipakainya.

“Mangsa terkejut dan terus melarikan diri menyebabkan suspek gagal menarik rantai emas itu, bagaimanapun suspek berjaya melarikan dompet mangsa,” katanya.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.