PGA Briged Tengah bantu operasi banjir di Segamat mulai esok
SEGAMAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah akan digerak bagi membantu operasi banjir di daerah Segamat mulai esok.
Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin, berkata bagi peringkat permulaan, satu platun 42 anggota daripada Batalion 5 dan 6 PGA Briged Tengah akan digerakkan dan jumlahnya ditambah mengikut situasi semasa banjir di daerah itu.
“Ketika ini seramai 15 pegawai dan 184 anggota IPD Segamat ditugaskan untuk membantu mangsa banjir sekitar Segamat.
“Kerjasama dengan semua IPD di Johor membabitkan seramai 4,309 pegawai serta anggota berdasarkan keperluan semasa.
“Kita juga akan menggerakkan pasukan Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan sekiranya keadaan memerlukan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat hari ini.
Kok Chin berkata kawasan yang dilihat terjejas teruk ialah Labis, Jementah, Tenang, Buloh Kasap, Bandar Segamat dan Batu Anam.
Setakat ini, sebanyak 31 kampung, tiga taman perumahan dan kawasan sekitarnya terjejas banjir dengan 34 pusat pemindahan sementara dibuka di Segamat bagi menempatkan 1,950 mangsa daripada 491 keluarga.
Tiga laluan di daerah itu ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Putting, Jalan Jabi Kampung Bukit Tempurung dan Jalan Tumang, manakala satu dibuka kepada kenderaan berat sahaja iaitu Jalan Jabi Kampung Bukit Tempurung.