Wanita perlu ditemani saudara lelaki untuk perjalanan jauh – Taliban
KABUL: Pihak berkuasa Afghanistan hari ini mengatakan wanita yang ingin melakukan perjalanan selain jarak dekat tidak seharusnya ditawarkan pengangkutan kecuali mereka ditemani saudara lelaki terdekat.
Garis panduan itu dikeluarkan Kementerian Promosi Kebajikan dan Pencegahan Maksiat itu turut menggesa semua pemilik kenderaan supaya hanya menawarkan perjalanan kepada wanita yang memakai hijab.
“Golongan wanita yang melakukan perjalanan melebihi 72 kilometer tidak seharusnya ditawarkan menaiki pengangkutan sekiranya mereka tidak ditemani oleh saudara lelaki rapat,” menurut jurucakap kementerian, Sadeq Akif Muhajir kepada AFP, sambil menyatakan penemannya mesti saudara lelaki rapat.
Garis panduan terbabit mula disebarkan secara meluas melalui rangkaian media sosial itu dikuatkuasakan beberapa minggu selepas kementerian sama meminta stesen televisyen Afghanistan supaya menghentikan tayangan drama yang menampilkan pelakon wanita.
Kementerian itu juga meminta wartawan televisyen wanita supaya memakai hijab ketika menyampaikan laporan.
Muhajir juga memaklumkan, hijab menjadi keperluan sekiranya golongan wanita ingin menaiki mana-mana pengangkutan, selain pemilik kenderaan tidak dibenarkan membuka muzik di dalam kenderaan.
Tafsiran Taliban mengenai hijab adalah sesuatu yang melitupi rambut dengan muka turut dilindungi daripada dilihat serta memakai pakaian menutup seluruh tubuh, bagaimanapun sesuatu tidak jelas berikutan kebanyakan wanita Afghanistan sudah bertudung.
Sejak mengambilalih kuasa pada Ogos, Taliban mengenakan pelbagai sekatan ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan, walaupun mengikrarkan peraturan yang lebih lembut berbanding dengan tempoh pertama mereka berkuasa pada 1990-an.
Di beberapa wilayah, pihak berkuasa Taliban tempatan dipujuk untuk membuka semula sekolah, namun kebanyakan gadis tidak dapat meneruskan pendidikan menengah.
Awal bulan ini, Taliban mengeluarkan dekri atas nama pemimpin tertinggi mereka yang mana kerajaan diperintahkan menguatkuasakan hak wanita.
Bagaimanapun, dekri itu tidak menyebut akses kanak-kanak perempuan terhadap pendidikan.
Aktivis berharap perjuangan Taliban untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa dan mendapatkan bantuan yang disalurkan kembali ke salah satu negara termiskin di dunia akan membawa kepada mereka membuat konsesi kepada wanita.
Penghormatan terhadap hak wanita berulang kali disebut oleh penderma global utama sebagai syarat untuk memulihkan bantuan.
Hak wanita disekat dengan teruk ketika Taliban memerintah sebelum ini.
Mereka kemudiannya dipaksa memakai burqa yang menutupi seluruh badan, hanya dibenarkan meninggalkan rumah dengan ditemani lelaki dan dilarang bekerja dan mendapatkan pendidikan.