Penjenayah Perancis ditahan selepas 20 tahun melarikan diri
MANADO: Selepas 20 tahun melarikan diri, suspek warga Perancis yang disabitkan dengan kesalahan membunuh ditahan apabila kapal layarnya rosak dipukul ribut di perairan Indonesia berhampiran pulau Sulawesi.
Thierry Ascione, 62, dan seorang lagi warga Perancis terpaksa berlabuh di pulau Talaud antara Indonesia dan Filipina pada 3 Oktober lalu bagi mendapatkan bantuan membaiki kapal mereka.
Ketua polis daerah, Lendi Hutabarat, berkata mereka ditahan pihak berkuasa atas kesalahan melanggar undang-undang imigresen.
“Sistem navigasi kapal mereka rosak akibat dipukul ombak,” katanya.
Ascione sedang bersembunyi dalam kapal berkenaan ketika polis menyoal siasat dan menahan rakannya yang sedang berkeliaran di pulau terbabit untuk membeli kad SIM.
Berbekalkan maklumat, polis kemudian menyerbu kapal layar terbabit dan berhasil menahan Ascione, yang tidak tanpa memiliki sebarang dokumen termasuk pasport.
Kedua-duanya diserahkan kepada pihak berkuasa imigresen dan kini ditempatkan di Manado, Sulawesi Utara.
Ketua pejabat imigresen pulau Sangihe, Novly TN Momongan, berkata Ascione memberitahu pihak berkuasa bahawa pasportnya dicuri ketika transit di Filipina.
Dalam pada itu, menurut sumber, Paris sudah mengemukakan permohonan rasmi untuk ekstradisi Ascione ke Jakarta, namun proses perundangan mungkin mengambil masa lama memandangkan kedua-dua negara tidak memeterai perjanjian ekstradisi.
Ascione didapati bersalah menyebabkan kematian dua pemilik restoran rakyat Perancis di Guatemala pada 1991.
Dia ditahan pada 1995 di lapangan terbang Roissy di Paris dan berada dalam tahanan sehingga tahun 2000 tetapi kemudian melarikan diri enam bulan sebelum perbicaraannya bermula.
Mahkamah Perancis yang menjalankan membicarakannya tanpa kehadiran, menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada 2001.