Piala Suzuki: Tak boleh bergantung kepada Cools sahaja

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada Dion Cools untuk mengawal benteng pertahanan skuad Harimau Malaya daripada dibolosi pada aksi berdepan Indonesia di Stadium Nasional, Singapura, Ahad ini.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, B Sathianathan menjelaskan pemain pertahanan lain juga perlu berusaha keras meningkatkan permainan mereka selepas bahagian itu dilihat menjadi kelemahan utama skuad kendalian Tan Cheng Hoe ketika ini.

Katanya, barisan pertahanan skuad kebangsaan mesti tampil dengan permainan lebih kental berbanding ketika aksi berdepan Vietnam yang mana benteng skuad negara mudah ditembusi pemain lawan.

“Saya nampak Cools boleh bawa kestabilan tapi saya belum pasti dengan (pemain) yang lain kerana bahagian pertahanan paling lemah, itu yang saya nampak.

“Bukan kerana tiada Aidil (Zafuan Abd Radzak) atau Shahrul (Saad), dengan dua (pemain) ini pun kita nampak kita goyang. Tapi Cools dengan pengalaman yang ada, dia pemain yang bagus.

“Saya harap pemain lain dapat meningkatkan permainan mereka, bukannya hanya kita nak bergantung kepada Dion Cools. Saya juga tak nampak kita ada pemain tengah bertahan (yang baik), ini kekurangan yang saya nampak,” katanya kepada BH Sukan.

Skuad Harimau Malaya akan turun dengan misi wajib menang ke atas Indonesia untuk melangkah ke separuh akhir susulan kekalahan 0-3 di tangan juara bertahan, Vietnam sebelum ini.

Berbeza dengan skuad Garuda apabila anak buah Shin Tae-yong dilihat memiliki sedikit kelebihan apabila mereka hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke separuh akhir.

Selain itu, B Sathianathan tetap menganggap peluang 50-50 dimiliki Malaysia dan Indonesia untuk meraih kemenangan dalam pertembuangan dua musuh tradisi Asia Tenggara itu.

“Peluang seimbang, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan dan kelemahan. Cuma keyakinan yang akan menentukan keputusan.

“Kalau kita lihat Indoensia berada dalam landasan yang betul, jadi keyakinan lebih kepada mereka kerana keputusan yang dicapai ketika (terikat tanpa jaringan) lawan Vietnam.

“Malaysia tak boleh seri, jadi semua pemain perlu memberikan segala-galanya dan yakin dengan kebolehan mereka,” katanya.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.