Media Prima rai kerajaan Pulau Pinang, rakan strategik
GEORGETOWN: Media Prima Bhd (Media Prima) menghargai jasa kerajaan Pulau Pinang di bawah kepemimpinan Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak serta 24 rakan kongsi strategiknya yang sentiasa memberi sokongan berterusan terhadap konglomerat media itu di negara ini.
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata pihaknya berbesar hati terhadap sokongan rakan strategik yang memberi kepercayaan apabila memilih pakej pengiklanan melalui platfom Media Prima, terutama sempena sambutan Ulang Tahun ke-72 Ahmad Fuzi pada tahun ini.
Beliau berkata, penerbitan Media Prima dengan satu daripadanya The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) mempunyai ciri khas dalam memberi penghormatan kepada Ahmad Fuzi yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kelapan pada 1 Mei lalu.
“Yang di-Pertua Negeri memberi sumbangan besar kepada negara melalui peranan aktifnya dalam kerajaan dan hari ini, beliau terus menghulurkan sumbangannya kepada rakyat Pulau Pinang apabila bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam pelbagai inisiatif, selain memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat serta meningkatkan kedudukan ekonomi negeri ini.
“Kami di Media Prima komited untuk terus meluaskan perkhidmatan media kepada kerajaan negeri dan syarikat di sini yang kami pasti salah satu capaian penonton tertinggi di negara ini melalui semua platform media kami,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Media Prima 2021 di sebuah hotel di sini, malam ini.
Antara rakan strategik yang diraikan pada majlis itu ialah syarikat Tenaga Nasional Berhad; Micron Memory Malaysia; Kumpulan Petra; Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad; II-VI Malaysia Advance; Pacific Inter-Link; PKT Logistics Group; Atomy Malaysia; Telekom Malaysia; Western Digital; Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan MIE Corporate Holdings.
Selain itu, UDA Holdings; Kumpulan Aspen; Perikatan Nasional; Universiti Sains Malaysia; Pak Mat Western; Venture Corporation Limited; Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang; Universiti dan Kolej SEGi; Penang Port; Penang Halal International; MMC Corporation dan Reveron Consulting.
Yang turut hadir, Ahmad Fuzi dan isterinya, Toh Puan Khadijah Mohd Nor, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.
Syed Hussian berkata, Media Prima adalah syarikat konglomerat media terkemuka di negara ini dengan capaian meliputi seluruh penduduk serta mempunyai pengikut yang ramai di seluruh negara.
Katanya, syarikat itu juga mempunyai stesen televisyen dan radio terkemuka, jenama akhbar popular termasuk salah satu yang tertua di negara ini, syarikat beli-belah di rumah yang berkembang maju, syarikat pengiklanan luar rumah nombor satu negara dan rumah produksi yang mencipta kandungan yang ditonton oleh khalayak luar Malaysia.
“Media Prima juga peneraju dalam jangkauan digital pada platform mudah alih di Malaysia dan menduduki tempat ketiga di belakang Google dan Facebook di negara ini pada semua platform digital.
“Pasukan kami di Media Prima Omnia menyediakan lebih daripada sekadar jualan pengiklanan iaitu penyelesaian media dan kami akan terus berada di sini untuk membantu anda,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Hussian berkata, syarikat berkenaan juga pernah menganjurkan beberapa acara padang seperti Karnival Jom Heboh dan rumah terbuka korporat sempena Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina sebelum ini.
“Namun, selama hampir dua tahun dengan suasana norma baharu, malam ini adalah acara fizikal ‘besar’ yang pertama dianjurkan dan pihak kami berharap situasi COVID-19 akan bertambah baik, selain kami akan kembali ke Pulau Pinang dengan lebih banyak aktiviti dan acara,” katanya.