Bot dibadai ombak, pemancing lemas
SUNGAI PETANI: Seorang pemancing lemas manakala lima yang lain selamat selepas bot dinaiki terbalik dipukul ombak di Perairan Tanjung Dawai dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Muhammad Ridhwan Mokhtar, 38, berasal dari Gurun dan bekerja sendiri meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman, berkata bot dikemudi tekong bersama lima pemancing berlepas dari Jeti Teluk Bayu Batu Lintang, Tikam Batu kira-kira jam 10 pagi, menuju ke Tuas yang terletak kira-kira dua kilometer dari Pulau Sayak.
Berdasarkan keterangan tekong bot berkenaan, beliau berkata, bot berkenaan dibadai ombak setinggi dua meter dan menyebabkan mereka tercampak ke laut.
“Tekong terbabit sempat menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk meminta bantuan.
“Bot Perkasa dengan empat anggota Maritim Malaysia tiba di lokasi untuk menyelamatkan mangsa, namun seorang daripada mereka ditemukan lemas.
“Seorang lagi pemancing cedera dan dibawa bot nelayan untuk ke jeti sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Shah (HSAH) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, empat lagi mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan dibenarkan pulang.
“Identiti mangsa yang meninggal dunia disahkan ahli keluarga dan mayat dihantar ke HSAH untuk bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pemilik bot pada jam 11.15 pagi, memaklumkan insiden berkenaan.
Katanya, Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) pada 11.35 pagi.