5,522 polis kawal proses pengundian awal esok
KUCHING: Seramai 5,522 anggota polis akan ditugaskan pada hari mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang berlangsung esok.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata pihaknya menempatkan petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi setiap lokasi mengundi awal.
“Setiap saluran mengundi awal akan dijaga oleh pihak polis dengan setiap zon ditempatkan seorang pegawai zon khusus untuk memastikan keselamatan serta perjalanan hari mengundi awal berjalan lancar.
“Keselamatan tempat mengundi juga dijamin selamat dan terkawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seramai 10,458 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan akan mengundi awal di 85 pusat mengundi awal dengan 111 saluran akan disediakan esok.
“Pusat mengundi awal ini terdiri daripada dewan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta rumah-rumah persatuan keluarga polis (PERKEP) di IPD, pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat dan sekolah.
“Pusat mengundi awal akan dibuka bermula jam 7.30 pagi hingga 5 petang,” katanya.
Beliau berkata, seramai 1,200 individu memohon undi pos bagi PDRM dalam pilihan raya kali ini.
“Sebanyak 705 permohonan undi pos diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), manakala 492 permohonan tidak diluluskan dan mereka akan hadir untuk undi awal esok.
“Bagi 705 individu yang mengundi secara pos, 415 individu di Sarawak, 85 individu di Sabah dan 208 individu di Semenanjung,” katanya.
Mancha berkata, terdapat beberapa sebab permohonan undi pos bagi PDRM di Sarawak termasuk pegawai PDRM yang bertugas di lain-lain kontinjen tetapi masih berdaftar undi di Sarawak.
“Ada juga pegawai PDRM yang akan bertugas sebagai bantuan sumber manusia di daerah-daerah jauh dari pusat mengundi semasa hari mengundi (faktor jarak),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak enam kompaun berjumlah RM31,000 dikeluarkan pihak polis terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya bagi tempoh 6 Disember lalu hingga semalam.
“Kompaun-kompaun berkenaan dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342).
“Dalam tempoh itu juga, sebanyak 39 kertas siasatan dibuka. Sebanyak 1,837 permohonan bagi mendapatkan permit diterima serta diluluskan kepada calon-calon dan parti bertanding di seluruh negeri,” katanya.