SPRM nafi tahan Presiden PBK

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan kononnya Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan ditahan suruhanjaya terbabit.

SPRM Sarawak dalam satu kenyataan turut menafikan dakwaan Lee Shan dikejar anggotanya. Sebaliknya, SPRM hanya menyampaikan notis pemakluman kerjasama supaya beliau memberikan kerjasama dalam siasatan.

“SPRM mengesahkan satu siasatan dibuat berhubung klip video yang disebarkan oleh seorang lelaki bernama Voon Lee Shan yang juga Presiden PBK dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

“SPRM Sarawak beberapa kali cuba menghubungi beliau namun beliau gagal dihubungi namun pada 12 Disember 2021, SPRM berhasil mengesan dan berjumpa dengannya di sekitar Kenyalang Park,” kata kenyataan itu.

SPRM menjelaskan kepada beliau mengenai keperluan untuk hadir ke Pejabat SPRM bagi membantu siasatan.

Malah, beliau turut diserahkan Notis hadir pemeriksaan seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 sebagaimana kehendak undang undang.

“Jadi, dakwaan (beliau) dikejar adalah tidak benar begitu juga dakwaan tangkapan dilaksanakan ke atas beliau juga adalah tidak benar. Lee Shan memberi kerjasama dan hadir ke pejabat SPRM Kuching pada pagi ini untuk membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

Justeru, SPRM menegaskan sentiasa menjaga etika dan bersifat profesional ketika menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang.

Lee Shan dilaporkan mendakwa beliau ditahan pegawai SPRM pagi ini.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang itu berkata, beliau sedang memandu keretanya melintasi Kenyalang Park apabila diarah berhenti oleh sebuah kenderaan lain. Malah beliau tidak tahu punca penahanan terbabit.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.