OIC, Indonesia kecam kenyataan Menteri Israel terhadap rakyat Palestin

JEDDAH: Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membantah dan mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich yang menafikan kewujudan Palestin, sejarah dan hak mereka.

OIC menganggap kenyataan itu sebagai sebahagian daripada naratif palsu dan ideologi penjajah Zionis yang menjadi dasar pembinaan Israel yang terus mengamalkan pembersihan etnik, pemindahan secara paksa, penempatan penjajah, pembunuhan dan penganiayaan terhadap rakyat Palestin.

“OIC juga mengecam keputusan pihak berkuasa Israel menutup pejabat perkhidmatan media rasmi Palestin di bandar Al-Quds, yang disifatkan sebagai sebahagian daripada pencabulan Israel terhadap kebebasan media.

“Dasar Israel menafikan kebenaran, menyekat suara orang ramai, menyembunyikan pencabulan dan jenayah mereka serta menghalangnya dari didedahkan kepada umum,” menurut OIC dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Smotrich yang juga bertanggungjawab mentadbir wilayah Tebing Barat membuat komen itu semasa berucap di persidangan di Perancis pada Ahad.

“Adakah terdapat sejarah atau budaya Palestin? Tidak ada.

“Tidak ada yang namanya rakyat Palestin,” kata menteri kewangan itu dalam rakaman yang dikongsi secara meluas di media sosial.

OIC mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin, mengesahkan kredibiliti dan naratif Palestin berdasarkan sejarah, perundangan, politik, budaya dan agama serta fakta yang menjangkau beribu-ribu tahun dahulu.

Sementara itu, Indonesia yang juga anggota OIC, melalui Kementerian Luar turut mengkritik kenyataan menteri Israel itu.

“Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Menteri Kewangan Israel yang menafikan kewujudan Palestin dan mengecam kewujudan dan kedaulatan wilayah Jordan.

“Indonesia sentiasa konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menghormati kedaulatan wilayah Jordan,” menurut kementerian itu. 

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.